SEJARAH PENGASAS YAZID BURGER



Nama saya ialah Abu Yazid Bin Abdul Kadir. Umur saya ialah 35 tahun dan berasal dari Kampung Sri Kinta, Ipoh, Perak. Saya anak yang ke-7 dari 13 orang adik beradik. Ibu saya bernama Hj Saodah Bt Hj Harun merupakan seorang suri rumah sepenuh masa dan telah mendidik 9 orang lelaki dan 4 orang perempuan. Ayah saya bernama Hj Abdul Kadir B Hj Talib merupakan seorang peniaga sayur di Pasar Besar Ipoh dan juga seorang tenaga pengajar di sebuah sekolah agama rakyat Kampung Sri Kinta. 

Sejak dari umur 6 tahun lagi, saya telah didedahkan dengan selok belok perniagaan sayur di pasar besar. Setiap hujung minggu atau musim cuti sekolah, pasar besar Ipoh adalah tempat untuk saya menimba ilmu perniagaan yang akan diajarkankan oleh ayah saya. Semasa umur 7 tahun, saya telah menghafal sifir 25 dan sudah pandai menggunakan penimbang untuk menentukan harga kepada pelanggan yang datang membeli sayur di gerai ayah saya. Sejak itu, ramai makcik-makcik dan pakcik-pakcik di sekitar bandaraya Ipoh yang datang ke Pasar Besar  akan lebih suka berurusan dengan saya kerana mereka ingin menguji atau melihat kebolehan saya menjalankan perniagaan bersama ayah saya.

Sepanjang persekolahan rendah dan menengah, subjek matematik adalah yang paling saya minat dan mahir. Ramai kawan-kawan yang suka bertanyakan soalan berkaitan matematik kepada saya. Pada tahun 1997, saya telah dianugerahkan pelajar terbaik matematik di Sekolah Menengah Kampung Pasir Puteh, Ipoh. Hadiah ini paling bermakna kepada ibu bapa saya kerana mereka telah memberi pendedahan awal ilmu perniagaan yang utama iaitu matematik. Setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya telah diberi kepercayaan oleh ayah untuk menguruskan sendiri perniagaan keluarga menjual sayur di Pasar Besar Ipoh.

Pada tahun 1998, saya telah melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara cawangan Segamat dan mengambil jurusan Diploma Perakaunan. Di sana, saya telah di dedahkan dengan ilmu berkaitan perniagaan yang lebih mendalam dengan pelbagai subjek yang akan di nilai setiap hujung semester. Keghairahan menjalankan perniagaan seperti menjual burger dan menjual pakej pelancongan kepada para pelajar telah menyebabkan saya terpaksa berhenti pengajian pada tahun 2002 dengan berbaki 5 subjek sahaja untuk memiliki sekeping Diploma. Keputusan ini telah mengecewakan harapan keluarga terutamanya ibu bapa yang ingin melihat kejayaan saya memiliki pendidikan pada masa hadapan.

Pada tahun 2003, saya telah diterima melanjutkan pengajian Diploma Pengurusan Pelancongan di Universiti Teknologi Mara Pulau Pinang. Kali ini saya berazam untuk fokus kepada pelajaran dan berjaya menghabiskan pengajian saya pada tahun 2006. Kemudian pada tahun 2007, saya berhijrah ke Kuala Lumpur untuk memulakan kerjaya sebagai Pengendali dan Penjual pakej pelancongan di Maslin Travel Management & Services. Hanya 2 bulan sahaja saya dapat bertahan dengan syarikat tersebut sebelum saya menjual burger di Taman Permata, Kuala Lumpur.

Pada tahun 2008, saya dengan rela hati telah melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Pengurusan Pelancongan di Universiti Teknologi Mara Shah Alam. Masalah kewangan semasa melanjutkan pelajaran, menyebabkan saya mengeluarkan keputusan untuk membuat dua bidang di dalam satu masa. Pada waktu siang, saya akan pergi ke kuliah dan pada waktu malam pula, saya akan menjual burger di Jalan Pualam 7/32, seksyen7, Shah Alam. Ilmu perniagaan yang diwarisi kini telah dikembangkan kepada bidang masakan iaitu menjual burger buatan sendiri dengan menghasilkan burger seperti burger satay, burger cendawan, burger blackpepper, burger tom yam, burger rending dan burger kambing. 

Mendapat restu dari ibu bapa untuk menjalankan perniagaan pada belah malam telah memberi semangat kepada saya untuk melanjutkan ke peringkat sarjana. Akhirnya, pada tahun 2010 saya telah melanjutkan pelajaran di Management And Science University dan mengambil jurusan Master in Business Administration. Akhirnya cita-cita ayah saya untuk melihat salah sorang anaknya memiliki sarjana telah tercapai….

Pada tahun 2012, saya telah menghasilkan burger bersaiz mega yang pertama di Malaysia untuk dinikmati oleh peminat burger disekitar Shah Alam dan Kuala Lumpur. Kelainan yang saya bawa kepada peminat burger di Malaysia telah membuka mata ramai penjual burger yang sebelum ini lebih gemar menjual burger yang bersaiz kecil. Melalui idea yang di anggap ‘gila’ dan ‘mengarut’ telah mengubah kedudukan ekonomi saya dan juga ahli keluarga saya.

Saya telah menubuhkan Yazid Burger Sdn Bhd untuk melancarkan lagi perjalanan perniagaan burger di samping itu dapat meneroka pasaran yang lebih luas selain dari pasaran Shah alam. Saya menyewa di Lot 2, S-G 4, Kompeks Perniagaan Anjung 7, Seksyen 7, 40000 Shah Alam untuk dijadikan ‘R & D Kitchen’. Saya telah menghasilkan roti burger yang beraneka rasa seperti Oregano, Honey Oat, Garlic, Wholemeals, dan Onion. Saya juga turut menganjurkan pertandingan makan burger yang pertama di Shah Alam dan di adakan setiap malam minggu di Medan Selera Anjung 7. 

Setelah berkahwin dengan Noor Fadzilah Bt Abd Hamid pada Disember 2012, saya telah membuat keputusan berpindah ke Kota Kinabalu, Sabah untuk mengembangkan perniagaan burger. Pada bulan Jun 2013, secara rasmi saya telah memulakan perniagaan burger di Putatan Square dengan menyewa kiosk dari seorang penduduk tempatan Sabah. Saya juga telah menjalankan kajian untuk menghasilkan burger dari sumber laut seperti burger ikan, burger udang, burger ketam, burger sotong, burger lobster dan burger rumpai laut.




Setelah berpengalaman lebih 16 tahun menjual burger, saya sedang mengumpul maklumat untuk menulis buku tentang  sejarah burger di Malaysia. Saya juga mengadakan seminar, bengkel dan kursus kepada para usahawan baru yang ingin menceburkan diri didalam perniagaan burger sama ada menggunakan stall, atau lori dan atau beroperasi di restoran. Pada tahun 2015 ini, saya berkeyakinan untuk mengembangkan perniagaan yang sedia ada kepada peringkat yang lebih selamat dengan menyertai perniagaan insuran. 

Perniagaan insuran telah menjadi perbincangan yang hangat dikalangan sahabat handai saya supaya tidak terlalu lama untuk melibatkan diri dengan jenis perniagaan ini. Setelah dikaji dan dinilaikan, memang perniagaan ini selari dengan perniagaan yang saya sedang jalankan. Jaringan kenalan yang ada telah memberi galakan untuk mencuba sesuatu yang baru pada diri sendiri. Matlamat utama saya untuk perniagaan insuran ini ialah menginsurankan sendiri para pekerja saya, bakal-bakal pengandali francais saya, ahli keluarga yang belum di insurankan dan menjual insuran sambil dapat makan burger secara percuma di semua rangkaian YAZID BURGER…

Yazid Burger Sdn Bhd sedang bekerjasama dengan Persatuan Orang Kurang Upaya Wilayah Persekutuan untuk membuat kajian penglibatan golongan OKU di dalam industry makanan jalanan terutamanya Keusahawanan Burger. Kajiaan ini juga dijadikan topik utama oleh saya untuk menyambung pengajian peringkat phd di salah satu universiti tempatan. Kertas cadangan masih sedang dibincangkan oleh pihak universiti dan saya sedang menunggu keputusan untuk menjalankan kajian tersebut. 

Saya memerlukan sumber kewangan yang lain untuk meneruskan pengajian ini. Saya telah mencabar diri dan kemampuan sendiri untuk tidak meminta sebarang tajaan dari keluarga ataupun pihak kerajaan. Di harap dengan penglibatan saya dengan perniagaan insuran akan memberi kejayaan kepada keluarga dan syarikat saya iaitu Yazid Burger Sdn Bhd. 

1 comments:

Unknown said...

Ada lagi ke YB Burger ni? Pegi kat Shah Alam 22.9.2018, kedai dah tutup.

 
  • Yazid Burger Bakar © 2012 | Designed by Rumah Dijual, in collaboration with Web Hosting , Blogger Templates and WP Themes