Cerita yazid burger di Harian Metro pada 21 November 2013

               MELIHAT gambar­nya saja terliur, inikan pula saat ia dihidangkan. Limpahan sos lada hitam beserta keju cair di atas burger bersaiz gergasi pula membuatkan sesiapa saja tidak sabar menikmatinya. Itulah yang nyata dirasai kebanyakan pengunjung yang datang dari seluruh Malaysia untuk merasai sendiri keenakan burger bakar bersaiz gergasi, Yazid Burger atau dikenali YB Burger. 

            Penulis sendiri yang selama ini sering tertanya-tanya bagaimanakah rasanya burger gergasi yang sentiasa menjadi buah mulut kebanyakan mereka yang sudah merasainya cukup teruja dengan ke­enakannya. 
Sebagai penggemar burger daging, Yazid Burger ini nyata lain daripada yang lain. Diusahakan dua beradik iaitu Abu Yazid Abdul Kadir dan Abdul Wahab Abdul Kadir, perniagaan burger bakar bersaiz gergasi ini bermula sejak Mei 2012.

            Menurut Abdul Wahab, 28, yang kini menguruskan perniagaan di Kompleks Perniagaan Anjung 7, Seksyen 7, Shah Alam, sebelum ini, mereka yang berasal dari Ipoh, Perak ini hanya menjalankan perniagaan burger biasa. Namun, katanya hobi si abang yang suka melancong dan melihat tempat orang mencetuskan idea menghasilkan burger gergasi yang kini menjadi fenomena. “Idea asal menghasilkan burger bakar bersaiz besar ini tercetus ketika Yazid mengembara di Vietnam di mana kebanyakan masyarakat di sana suka burger dan mahu saiz yang lebih besar daripada saiz sekarang. 

                “Jadi, apabila balik ke tanah air, kami terus memulakan penghasilan burger bakar yang bersaiz besar,” kata­nya. Burger bakar ini memang berbeza kerana saiznya mengikut berat daging yang dipilih pelanggan iaitu sekilo, 500 gram dan 250 gram. Namun, ia bukan sekadar saiznya yang besar tetapi rasa dan penggunaan bahan dalam menghasilkan hidangan burger yang enak ini punya keistimewaan tersendiri. “Kelebihan atau keistimewaan Yazid Burger ini adalah penggunaan daging yang berkualiti dan ia 100 peratus daging tanpa campuran tepung. 

              “Selain itu, bagi menghasilkan rasa daging burger yang lain dari yang lain, daging ayam dan lembu yang digunakan menggunakan 25 ramuan istimewa yang dicipta sendiri,” katanya. Sos lada hitam yang juga menjadikan hidangan ini lebih enak adalah dibuat sendiri dan ia menggunakan 27 ramuan sehingga mendapat rasa yang digemari ramai pelanggan Burger Yazid ini. Menambahkan kelainannya, pengunjung bukan saja boleh memilih saiz burger yang mahu dinikmati tetapi juga roti yang dihasilkan sendiri. 

            Ada lima jenis roti yang dipilih pengunjung iaitu Oregano, Garlic, Honet Oat, Wholemeal serta Multigreen. Selain membuat pesanan di kaunter, pengunjung boleh membuat tempahan menerusi panggilan telefon atau mesej pesanan ringkas (SMS).  “Yazid Burger juga menawarkan Burger Kahwin bagi pasangan yang inginkan kelainan ketika sesi memotong kek. “Untuk Burger Kahwin ini, maksimum daging burger yang digunakan adalah 13 kilogram dengan empat tingkat,” katanya. Terbaru, selain Yazid Burger beroperasi dari 4 petang hingga 11 malam pada Isnin hingga sabtu dan 2.30 petang hingga 11 malam pada ahad turut menyediakan hidangan baru iaitu mini burger, Multigrain dan maxican wrape.


0 comments:

 
  • Yazid Burger Bakar © 2012 | Designed by Rumah Dijual, in collaboration with Web Hosting , Blogger Templates and WP Themes